Sumbangan
Perjuangan As-Sunnah di Perlis sejak dari zaman Syeikh Hassan Surabaya dan di sambung oleh generasi pelapisnya sentiasa berhubung rapat di dalam mengukuhkan ilmu dan perjuangan murni mereka. Ilmu tauhid, Iman dan ibadat adalah pelajaran wajib bagi golongan As-Sunnah di masa itu dan di antara tokoh As-Sunnah yang telah mengajar tauhid, iman dan ibadat secara terperinci dan dalam sekali kajian ilmunya berdasarkan Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. adalah Syeikh Noor As-Sururi.
Tempat pengajian As-Sunnahnya berpindah beberapa kali dari Mata Ayer ke Hutan Lembah dan akhirnya beliau menetap di Kampung Kerisik. Di Hutan Lembah beliau menjalankan pengajaran As-Sunnah dengan lebih tersusun dan apabila bertapak di Kampung Kerisik cara pengajarannya lebih bercorak kuliah kerana sambutan terhadap pengajarannya bertambah dari tahun demi tahun pada setiap pagi hari Jumaat hampir seribu anak muridnya berhimpun mendengar kuliahnya. Selain dari tempat yang di sebutkan di atas beliau juga biasa mengajar di Bohor Cicar, Bohor Latih dan Batu 5, Jalan Kuala Perlis. Di waktu itu sesiapa yang ingin mendalami secara lebih terperinci lagi tentang As-Sunnah, hendaklah datang secara bersendiri atau dengan jemaah yang kecil pada hari lainnya.
Dari Kangar anak-anak muridnya menaiki bas ke Kampung Kerisik dan apabila sampai ke Kampung Kerisik ada kalanya hanya tinggal pemandu dan penjual tiket bas sahaja kerana yang ramai itu ialah orang yang datang kekelas As-Sunnah di rumah Syeikh Noor As-Sururi.Dua buah bas pada waktu pagi Jumaat itu lazimnya di penuhi oleh sebahagian besar anak muridnya, selain itu ada yang datang dengan kereta dan boleh di lihat deretan kereta yang panjang di sepanjang jalan kerumahnya. Dan di rumah Syeikh Noor inilah tempat pertama bertapaknya Persatuan Al-Islah Negeri Perlis. Beliau biasa di tamatkan tauliah mengajarnya dan perjuangan As-Sunnah yang di kembangkan oleh Syeikh Noor ditentang serta di ragui oleh banyak pihak, antara sebabnya adalah kehalusan cara beliau mengajar atau mengeluarkan nash dan luasnya ilmunya di dalam As-Sunnah. Beliau adalah salah seorang ulama yang paling tinggi pengajiannya di kalangan para ulama As-Sunnah di Perlis pada masa itu, beliau juga adalah seorang mufassirin dan muhadissin.
Beliau adalah pengasas Persatuan Al-Islah Negeri Perlis dan sumbangannya di dalam meningkatkan perkembangan As-Sunnah di Perlis merupakan sumbangan yang sangat besar.
Karya / Manuskrip
Tiada maklumat
Kesultanan yang Berkaitan
Tuanku Syed Putra Jamalullail (Raja Perlis)